Sunday, August 7, 2011

Berpuasa Bukan Untuk Berpuas..; )

Alhamdulillah kerana kita berpeluang untuk berpuasa lagi. Sebahagian besar daripada kita tentulah sempat bersahur. Mudah-mudahan kita yang sahur pada jam 3.00 pagi dan ke atas disenangkan untuk bangun setiap hari hingga ke akhir Ramadhan. Tidak ada sehari pun terjaga setelah mentari menjenguk ke dalam jendela.

Tentu sekali puasa melatih diri untuk bersabar. Namun, sebagai manusia, kita mudah sangat terlupa untuk menjaga kesabaran. Mungkin kita sudah pun membunyikan hon pada kereta yang berada di hadapan kereta kita di lampu trafik pagi tadi kerana lewat sesaat untuk bergerak bila lampu bertukar hijau.

Mungkin kita sudah mengeluh apabila pemandu kereta di hadapan terpaksa membuka pintu untuk menyentuh kad 'Touch and Go'nya kerana cerminnya sudah rosak. Atau kita geram apabila kereta kita dipintas secara tiba-tiba.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, apakah kita memotong 'queue' untuk menaiki bas kerana tidak mahu menunggu lebih lama? Ataupun tidak memberi ruang bagi yang ingin keluar daripada koc komuter atau LRT sebelum kita menginjak menaikinya? Atau menghimpitkan diri ke dalam lif yang sendat kerana takut lewat memasuki pejabat sebentar tadi? Inilah cabaran kesabaran berpuasa.

Tiba awal ke pejabat kerana tidak perlu bersarapan memberi kita lebih banyak masa. Maka, tidak molek jika kita gunakan masa itu untuk membuka laman kenalan sosial, laman permainan, laman gossip artis, laman video hiburan atau segala macam laman fitnah dan ghairah seperti yang selalu kita lakukan.

Menu di bulan puasa perlu berubah kepada membuka laman al-Quran online. Boleh juga e-tadarus dengan mendengar dan mengikut bacaan dengan tujuan memperbetulkan sebutan kita. Atau membuka laman-laman hadis, soal jawab agama, blog-blog ustaz-ustaz yang tentunya mempunyai pelbagai ulasan dan bahan mengenai puasa itu sendiri. Santapan minda yang baik di bulan puasa akan menajamkan fikiran walaupun ia sedikit melayukan mata.

Tentu sekali waktu makan tengahari juga boleh digunakan untuk bersolat dengan lebih lambat dan khusyuk. Setelah itu masa yang luang boleh digunakan untuk menghafal satu surah baru daripada mana-mana juz Amma. Sekurang-kurangnya kita tidak membaca surah-surah 'empat Qul' sahaja setiap kali solat sejak akil baligh hingga ke hari ini. Mudah-mudahan kita dapat menghafal satu surah pada setiap minggu.

Cabaran bazaar Ramadhan sememangnya menguja nafsu. Terdapat beratus-ratus jenis makanan. Masakan yang dibakar, digoreng, direbus, dicelur kesemuanya ada. Tidak termasuk pelbagai jenis kuih muih dan pelbagai minuman beraneka warna. Ada juga makanan yang hanya muncul setahun sekali seperti air kasira dan bubur lambuk. Kesemua ini mengancam selera.

Apakah kita mengambil sejenis kuih atau membeli selagi tangan larat menjinjing? Hingga akhirnya kesemua makanan itu akan di'petisejukkan' dengan niat hendak dihabiskan. Sedangkan apabila tiba hari esoknya, kita membeli dan membeli lagi. Jika difikirkan, seisi rumah yang berpeti sejuk tidak perlu langsung membeli makanan setiap hari, kerana percayalah, seisi rumah tidak akan kebuluran kerana peti sejuk dicipta untuk mengisi stok makanan sehingga seminggu.

Bagi yang berbuka di luar sama ada di gerai mahupun di hotel-hotel, apa yang lebih mustahak ialah untuk mengintai-intai di manakah terdapatnya surau dan tempat berwuduk. Maklumlah, menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai juga melalaikan. Lebih-lebih lagi, perut yang berat akan juga membuatkan mata menjadi berat ketika berterawih. Jika kita terlalu santai dengan berbuka dan berebut-rebut untuk bersolat, keseronokan berpuasa dalam suasana tenang telah dinodai dengan kekalutan setelah berbuka, apatah lagi untuk bertadarus.

Pendek kata, kita perlu kurangkan makan, minum dan tidur ketika berpuasa. Apa yang perlu dilebihkan ialah beribadah. Tidak molek lebih makan, lebih minum dan lebih tidur.

Berpuasa itu bukan untuk berpuas.

Kalau Hati Baik, Wajah Sentiasa Cantik....

"Bukan aku tidak cinta, tetapi tolonglah berhias diri," tambahnya lagi.

"Mengapa? Teruji sangatkah?"

"Apa tidaknya... di pejabat aku berdepan dengan berbagai-bagai wanita. Semuanya berhias dan berwangi-wangian."


"Kau menjaga pandangan?"

"Bukan sahaja pandangan tetapi penciuman. Dunia akhir zaman, kau bukan tidak tahu."

"Ya, iman kita sering teruji," balas saya, seakan-akan menumpang keluhannya.

"Yang aku hairan tu, isteri aku ni bukan tidak cantik, cantik. Tapi entahlah, sekarang ni semakin hilang moodnya untuk menjaga diri."

"Kita dah semakin berusia. Apa lagi yang kita cari dalam hidup ini," pujuk saya untuk meredakannya.

"Tetapi itu bukan alasan untuk dia tidak menjaga diri. Kita sebagai suami sering diuji, setidak-tidaknya berilah sedikit bantuan untuk kita hadapi ujian itu."

Saya senyum. 'Bantuan' yang dimaksudkannya membawa pelbagai tafsiran.

"Kau yang mesti mulakan dulu, insya-Allahlah isteri akan mengikut nanti," cadang saya.

"Ya, aku dah mulakan. Mudah-mudahan dia dapat 'signal' tu..."

"Amin."

Saya termenung memikirkan 'masalah kecil' yang kekadang boleh mencetuskan masalah besar itu. Sepanjang pergaulan saya telah ramai suami yang saya temui mengeluh tentang sikap isteri yang malas berhias. "Apa guna, kita dah tua." "Alah, awak ni tumpu ibadat lah." "Dah tua buat cara tua." Itulah antara alasan yang kerap kita dengar daripada para isteri.

Ramai suami yang baik, tidak memilih jalan singkat dan jahat untuk menyelesaikan masalah seperti menyimpan perempuan simpanan, pelacuran dan sebagainya. Ada juga yang ingin mencari jalan baik ( seperti poligami) tetapi tidak berapa berani berdepan dengan isteri. Ada juga yang terus memendam rasa seperti sahabat rapat saya itu.

"Tak berani poligami?" Dia menggeleng kepala.

"Tak ada calon ke?" saya mengusik lagi.

"Ramai..."

Memang saya lihat pada usia awal 40′an dia tambah segak dan bergaya.

"Habis kenapa?"

Dia diam. Saya renung wajah sahabat saya yang begitu akrab sejak dahulu. Dia memang lelaki baik, berakhlak dan begitu rapi menjaga ibadah-ibadah khusus dan sunat.

"Aku sayang isteri aku. Sangat sayang. Aku tidak mahu hatinya terguris atau tercalar. Aku kenal dia. Walaupun mungkin dia tidak memberontak, tetapi kalau aku berpoligami dia pasti terluka."

"Kau sudah berterus terang dengannya?"

"Tentang apa, tentang poligami?"

"Bukanlah. Tapi tentang sikapnya yang malas berhias dan bersolek tu?"

"Aku takut melukakannya."

"Tak mengapalah kalau begitu, biar kau terluka, jangan dia terluka," saya berkata dengan nada sinis.

Dia faham maksud saya.
"Aku sedang mencari jalan berterus-terang," dia mengaku juga akhirnya.

"Tak payah susah-susah. Katakan padanya dia cantik, tetapi kalau berhias lebih cantik..."

"Lagi?"

"Katakan kepadanya, berhias itu ibadah bagi seorang isteri. Jadi, bila kita yakin berhias itu ibadah, tak kiralah dia telah tua ke atau masih muda, cantik atau buruk, dia kena berhias. Dapat pahala, walaupun tak jadi cantik, atau tak jadi muda semua," saya senyum.

Kemudian ketawa. Pada masa yang sama saya teringat apa yang dipaparkan oleh media massa bagaimana 'ayam-ayam' tua (pelacur-pelacur tua) yang terus cuba menghias diri untuk menarik pelanggan-pelanggan mereka. Mereka ini berhias untuk membuat dosa. Lalu apa salahnya isteri-isteri yang sudah berusia terus berhias bagi menarik hati suami mereka, berhias untuk mendapat pahala? Salahkah?

Mencari kecantikan isteri, bukan isteri yang cantik.
"Kita para suamipun banyak juga salahnya," kata saya.

"Kita tak berhias?"

"Itu satu daripadanya. Tapi ada yang lebih salah daripada itu," tambah saya lagi.

"Salah bagaimana?"

"Salah kita kerana kita masih mencari isteri yang cantik bukan kecantikan isteri!"

"Dalam makna kata-kata kau tu..."

"Tak juga. Sepatutnya, pada usia-usia begini fokus kita lebih kepada kecantikan isteri. Di mana kecantikan sejati mereka selama ini."

"Pada aku tak susah. Pada hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga."

"Ya, jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik."

"Kau telah luahkan apa yang sebenarnya aku rasakan. Itulah yang aku maksudkan tadi, aku tak sanggup berpoligami kerana terlalu kasihkannya."

"Kasih ke kasihan?" saya menguji.

"Kasihan tak bertahan lama. Tetapi aku bertahan bertahun-tahun. Aku kasih, bukan kasihan."

Tongkat 'muhasabah diri' vs tongkat Ali
"Relaks, aku bergurau. Tetapi ada benarnya kalau isteri katakan bahawa kita telah tua."

"Maksud kau?"

"Bila kita sedar kita telah tua, kita akan lebih serius dan lajukan pecutan hati menuju Allah! Bukan masanya untuk berlalai-lalai lagi."

" Ya, aku teringat kisah Imam Safie. Ketika usianya mencecah 40 tahun, dia terus memakai tongkat. Ketika muridnya bertanya kenapa? Kau tahu apa jawabnya?"

Saya diam.

"Beliau berkata, aku ingatkan diriku dengan tongkat ini bahawa usiaku sudah di penghujung, bukan masanya lagi untuk berlengah, tetapi untuk menambah pecutan dalam ibadah menuju Allah."

Saya diam. Terus termenung. Imam Safie, tak silap saya wafat pada usia awal 50′an. Tepat sungguh firasatnya. Insya-Allah, jalannya menuju Allah sentiasa diredhai.

"Kalau kita seserius Imam Safie, insya-Allah, kita boleh hadapi masalah isteri tidak berhias ini. Kita akan cari kecantikannya yang abadi untuk sama-sama memecut jalan menuju Ilahi..." tegas sahabat saya itu.

"Kita tidak akan lagi diganggu-gugat oleh godaan kecantikan dari luar yang menguji iman. Kita juga tidak akan dikecewakan oleh pudarnya satu kecantikan dari dalam yang mengganggu kesetiaan."

"Ya, kalau kita baik, isteripun akan baik. Bila hati baik, kita akan cantik selama-lamanya!"

Ironinya, ramai suami yang telah berusia masih belum sedar hakikat ini. Seperti imam Safie, pada usia-usia begini ramai suami yang mula mencari tongkat. Sayangnya, bukan 'tongkat muhasabah diri' tetapi 'tongkat Ali!'

Thursday, August 4, 2011

Jika Dahulu Ramadhan Aku Sia-sia kan...


Marhaban Ya Ramadhan!

Terasa indah pada hari ini mampuku berdiri, menghadiahkan seribu kali kesyukuran, di bulan Syaa'ban yang mulia. Ini bermakna kite sudah menghampiri Ramadhan Al Mubarak yang dtunggu-tunggu demi cintaku pada yang Esa. Namun, tatkala teringat bahawa ajal datang umpama kilat memanah bumi, malah lebih laju dan tepat detiknya, aku menjadi sayu.

Bagaimana andainya Ramadhan kali ini tidak dapat ku temui? Mungkinkah nyawaku ditarik sebelum sempatnya Ramadhan kembali? Segala persoalan ku tahu tidak akan terjawab namun, aku kembali memohon kepada Dia, Allah S.W.T, panjangkanlah usia hambamu ini, dan berikanlah kesempatan memenuhi Ramadhan-Mu lagi. Kerana Ramadhan dahulu aku telah mengecewakan Mu, Ya Allah. Kerana Ramadhan dahulu aku telah banyak mensia-siakan Ramadhan dengan kealpaan dan kemungkaran.

Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Mengapa ia dikatakan begini? Sudah tentu semua telah maklum bahawa Ramadhan merupakan satu-satunya bulan yang kita diuji dengan pelbagai corak ujian untuk mengukur kesabaran demi memperoleh seribu kebaikkan daripadanya. Masya-Allah!

Jika ada antara yang bukan Islam bertanyaku, 'Tidak lapar kah kamu semua berpuasa selama 30 hari? Kalau aku di tempat engkau, sudah tentu aku tidak dapat memenuhi tuntutan puasa tersebut'.

Maka aku selalu nyatakan pada mereka bahawa, 'aku berpuasa bukanlah bermakna aku sedang kebuluran. Sedangkan di setiap pelusuk dunia masih ramai yang tidak menemui makanan dan minuman. Adakalanya berhari-hari mereka kelaparan namun mereka tetap cuba untuk hidup sehingga sisa-sisa nafas yang terakhir. Aku berpuasa demi mengingati Allah dan ciptaan Allah yang ditakdirkan kekurangan serba-serbi dalam kehidupan, di malam hari aku beribadah memuji Allah kerana aku bersyukur, ditakdirkan hidup dalam golongan manusia yang sederhana. Masih mampu meraih nasi dan lauk pauk. Masih mampu meneguk air berwarna warni lengkap berais. Tapi mereka? Ada yang sekadar meneguk air lumpur. Ada yang menangis, meneguk air longkang. Mengapa tidak kita yang serba cukup ini masih tidak bersyukur?'

Aku teringat mengenai kisah sahabat Nabi yang dikasihi mengharungi bulan Ramadhan:

Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, apabila masuk bulan Ramadhan, dan ketika malam telah melabuhkan tirainya, beliau mengadap mihrabnya (tempat ibadat) sambil memegang janggutnya lalu ia mengangis sambil berkata: Wahai dunia! Samada kamu menghadap kepada ku atau berpaling dariku, aku telah ceraikan kamu dengan talak tiga, dan tidak mungkin lagi aku kembali kepadamu. Sesungguhnya umur kamu pendek, urusun kamu (menipu daya manusia) sangat hina dan tipu daya sangat besar. Ohh! Alangkah sedikitnya bekalan (ku), sedangkan perjalanan sangat jauh dan jalan pula sukar!

Masya-Allah, Saidina Ali sahabat Baginda S.A.W yang dijamin syurga pun merasakan dirinya mempunyai bekalan amalan yang sedikit, inikan lagi kita yang nyata-nyata sering melakukan dosa besar dan kecil kepada Allah S.W.T? Sekali lagi hati ini bertukar sayu dan hiba. Aku mungkin bijak menyatakan kepada mereka tentang fadhilat berpuasa di bulan Ramadhan, tetapi aku sendiri masih banyak melakukan dosa yang sedar dan tidak di bulan Ramadhan dan bulan-bulan lain selain Ramadhan. Sedangkan aku tahu aku tidak semulia Saidina Ali. Ampunkanlah dosaku Ya Allah!

Allah menciptakan manusia dengan tujuan, iaitu untuk menguji samada kita baik atau sebaliknya.

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:

"Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat)." [Al-Mulk : 2]

Setiap permulaan pasti ada pengakhiran bukan? Pengakhiran ujian itulah yang dinamakan Mati/Maut.

Firman Allah ta'ala yang bermaksud:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya." [Ali-Imran:185]

Ramadhan adalah bulan penuh dengan kebaikan, keberkatan dan rahmat Allah yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya. Ia ibarat seperti pasar-pasar perniagaan yang kesemua barang-barangnya yang di jual adalah yang terbaik dan dijamin kekal selama-lamanya. Inilah perniagaan yang sangat menguntungkan.

Firman Allah ta'ala lagi mengenai kehidupan yang bermaksud:

"Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya)." [Al-Saf : 10-11]

**

Oleh kerana aku merupakan manusia yang sering terlalai dan membuat dosa, maka Ramadhan ini lah sebenarnya merupakan waktu untuk aku menghapuskan dosa-dosaku agar aku dikembalikan kepada-Nya tanpa noda-noda dosa.

1)Sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka di ampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang." [HR Al-Bukhari]

2)Sabda Rasulullah SAW lagi:



"Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat yang lain dan puasa Ramadan ke Ramadan yang lain, semuanya adalah penghapus dosa-dosa di antara kedua-duanya selagi mana ia menjauhi dosa-dosa besar." [HR Muslim]

Insya-Allah dengan kehadiran Ramadhan kali ini aku akan berusaha merebut peluang ini untuk berpuasa dengan penuh keimanan kepada-Mu, bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga malah turut menahan diri daripada godaan syaitan dan hawa nafsu.

3)Sabda rasulullah SAW tentang kebaikan Ramadhan lagi:

"Semua amalan anak Adam akan di ganda pahalanya, setiap amalan baik sama dengan sepuluh kebaikan dan diganda lagi sehingga tujuh ratus melainkan puasa. Maka firman Allah ta'ala: Maka sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku sendiri akan membalasnya, ia meninggalkan syahwatnya dan makan demi kerana-Ku." [HR Muslim]

Lantas aku teringat kisah Rasulullah S.A.W bahawa Baginda pernah bercerita kepada sahabat-sahabat Baginda, mengenai perihal syurga Rayyan, iaitu syurga yang dikhaskan untuk orang-orang yang ikhlas berpuasa,

4)Sabda Rasulullah SAW mengenai Syurga Rayyan:

"Sesungguhnya di syurga ada satu pintu di namakan Ar-Rayyan, akan masuk melalui pintu ini pada hari qiamat mereka yang berpuasa , tidak akan masuk melaluinya selain daripada mereka. Di katakan: Di manakah orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka yang berpuasa memasukinya, setelah mereka masuk pintu ini pun ditutup dan tidak akan masuk lagi seorang pun selepas itu." [HR Al-Bukhari]

Baginda S.A.W juga pernah menyatakan bahawa bukan sahaja pintu syurga Rayyan yang akan dibuka malah semua pintu-pintu syurga akan memperlihatkan isinya( terbuka) dan pintu-pintu neraka akan tertutup selama sebulan.

5)Sabda Rasulullah SAW:

"Apabila masuk Ramadhan, pintu-pintu syurga akan di buka, di tutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan di gari." [HR Al-Bukhari]

Apabila membaca hadis ini, aku sering berasa lega. Alhamdulillah, tiada syaitan yang akan menganggu ibadahku ketika bulan Ramadhan, sudah pasti ibadah ku akan menjadi tip-top dan sempurna! Tetapi aku sering lupa bahawa hawa nafsu itu masih ada dalam diri. Aku berazam, Ramadhan kali ini aku akan tundukkan hawa nafsuku agar ia patuh menunaikan arahan dan perintah Allah S.W.T.

Di akhir Ramadhan, Allah kurniakan pula satu malam yang tiada tandingannya dengan malam-malam yang lain. Benar bahawa Allah itu Maha Penyayang dan Pengampun. Seboleh-bolehnya Dia menciptakan hari dan bulan untuk manusia-manusia bertaubat dan mensucikan diri daripada dosa. Jika Allah itu zalim, sudah tentu Dia tidak akan menciptakan penghulu keindahan Ramadhan ini yakni malam lailatul qadar dipengakhir Ramadhan! Pepatah inggeris mengatakan, Save The Best for The Last.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan." [Al-Qadr : 1-3]

6)Rasulullah juga turut bersabda mengenai keistimewaan Lailatul Qadar:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, Allah telah fardukan ke atas kamu puasa ramadhan, di buka padanya pintu-pintu langit (pintu syurga) dan di tutup pintu-pintu neraka Jahim, di ikat syaitan-syaitan yang paling jahat, bagi Allah satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang di haramkan dari kebaikannya, maka ia di haramkan dari segala kebaikan." [Hadith sohih-Riwayat al-Nasa'i]

Sesungguhnya begitu mulia Ramadhan Al-Mubarak. Begitu besar dan banyak kebaikannya. Malah tidak terhitung jumlah dosa-dosa yang terhapus kerananya! Ya Allah Ya Rabbi, jauhkanlah aku daripada kelalaian menyambut bulan-Mu Ramadhan. Tingkatkanlah usaha ku ke arah mencapai rahmah-Mu. Amin